Hampir 8,000 maut gempa Turkiye, Syria, kekurangan kelengkapan burukkan keadaan

ANGKA kematian akibat dua gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, kelmarin meningkat lebih 7,800 orang hari ini.

Lapor BBC, pasukan penyelamat kini berusaha untuk menyelamat sebanyak mangsa yang boleh susulan gempa dengan kekuatan 7.8 magnitud berhampiran Gaziantep diikuti gempa susulan 7.6 magnitud yang menjejaskan selatan Turkiye dan utara Syria.

Usaha menyelamat di Turkiye turut disertai waris mangsa yang berusaha meyelamatkan saudara mara mereka dengan menggunakan peralatan sendiri termasuk linggis.

Penduduk Kahramanmaras di Turkiye memanaskan badan dengan membina unggun api di luar sisa runtuhan rumah yang musnah.

Malah di beberapa kawasan seperti wilayah Hatay, penduduk mendakwa pasukan menyelamat lambat bertindak menghulurkan bantuan ketika pasukan penyelamat berdepan masalah kekurangan jentera berat.

Lapor AFP, sebanyak 5,894 kematian dilaporkan di Turkiye manakala sekurang-kurangnya 1,932 kematian di Syria.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam mengumumkan perintah darurat di 10 wilayah negara itu yang terjejas selama tiga bulan.

Wartawan AL Jazeera di Kahramanmaras, pusat gempa di Turkiye melaporkan pasukan penyelamat bekerja selama 24 jam mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan walaupun bergelut dengan cuaca sejuk.

“Cuaca ekstrim, ketiadaan elektrik, makanan dan air mengakibatkan penduduk amat bergelut ketika ini.

“Namun usaha menyelamat digiatkan bagi mengeluarkan tiga mangsa yang menunggu untuk diselamatkan di bawah runtuhan bangunan,” kata wartawan, Resul Serdar.

Di Hatay, sekurang-kurangnya 1,647 orang terbunuh setakat petang semalam, angka kematian tertinggi setakat ini di Turkiye.

Usaha menyelamat tambah sukar selepas landasan lapangan terbang rosak teruk memaksa kemudahan itu ditutup.

Di Syria, sekurang-kurannya 812 kematian dilaporkan di kawasan yang dikawal kerajaan melibatkan Aleppo, Latakia, Hama, Idlib dan Tartous.

Agensi Pertahanan Awam Syria, yang dikenali sebagai “White Helmets,” melaporkan terdapat kira-kira 1,120 kematian di kawasan yang dikawal oleh pembangkang manakala 2,500 lagi cedera.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata, pihaknya menghantar kelengkapan pembedahan cukup merawat 100 orang ke hospital di Aleppo manakala kelengkapan perubatan turut dihantar ke Aleppo, Latakia dan Tartous beserta ribuan makanan dalam tin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *