Gempa Turkiye: Pemain bola terjun dari tingkat sembilan selamatkan diri

PEMAIN bola sepak kelab Turkiye, Christian Atsu dilaporkan terjun dari tingkat sembilan blok apartmen 11 tingkat dalam usaha menyelamatkan diri selepas gempa bumi mega melanda Turkiye dan Syria pagi kelmarin.

Atsu, 31, yang bermain untuk kelab Hatayspor dilapor pulang daripada permainan poker lewat malam selepas sebelumnya menjaringkan gol kemenangan kelabnya mengatasi Kasimpasa 1-0 sebelum bencana itu berlaku.

Bekas pemain sayap Newcastle dan Chelsea itu tinggal di Turkiye sejak menyertai Hatayspor dari kelab Arab Saudi, Al-Raed pada musim panas lalu.

Dia meledak gol sulungnya bersama pasukan itu Ahad lalu selepas masuk sebagai pemain gantian lapan minit sebelum tamat.

Berita Harian dalam laporannya memetik The Mirror, pemain berusia 31 tahun kelahiran Ghana itu meraikan kemenangan bersama rakan sepasukan dengan bermain poker sebelum kembali ke rumahnya kira-kira 20 minit sebelum gempa bumi itu melanda.

Ejen Atsu, Nana Schere, yang berada di London memberitahu akhbar itu: “Kali terakhir saya mendengar berita daripadanya pada tengah malam Ahad lalu.

Christian dan rakan sepasukannya bermain poker hingga 3.30 pagi di apartmen seorang rakan. Perjalanan pulang ke apartmennya mengambil masa kira-kira setengah jam.

“Dia sampai ke apartmen pada jam 4 pagi dan gempa bumi itu bermula kira-kira 20 minit kemudian. Saya tidak tahu apa-apa hinggalah saya menerima panggilan daripada pegawai kelab pada jam 5 pagi bertanyakan jika saya mendapat apa-apa berita daripada Christian. Mereka memberitahu saya apartmen diduduki Christian musnah dan mereka tidak menemuinya.

“Saya berharap dia tidak tidur dan gempa bumi itu berlaku bukan ketika dia tidur. Dia menginap di bangunan 11 tingkat dan biliknya di tingkat sembilan.

“Pegawai kelab cuba membantu saya mencarinya tetapi terlalu sukar kerana saya faham, mereka juga cuba mencari rakan dan keluarga masing-masing.

“Ada banyak laporan dari luar England dan Ghana bahawa Christian selamat, tetapi pengesahan rasmi hanya saya terima daripada kelab itu pada pukul 6 pagi semalam. Mereka memberitahu saya Christian berada di hospital dan dalam keadaan stabil.

“Dia tidak mempunyai telefon bersamanya dan seperti kita juga, dia tidak ingat nombornya sendiri, jadi saya terpaksa menunggu untuk bercakap dengannya menerusi telefon,” katanya.

Atsu, yang membantu FC Porto menjuarai liga Portugal pada 2013, melakukan 121 penampilan bersama Newcastle ketika lima tahun beraksi di St James’ Park.

Dia pada awalnya menyertai Magpies secara pinjaman dari Chelsea pada 2016 sebelum berpindah secara tetap pada musim panas berikutnya selepas membantu pasukan itu memenangi Liga Kejuaraan.

The Blues membawa pemain itu ke England susulan persembahan cemerlangnya bersama Porto namun meminjamkannya ke Everton dan Bournemouth sepanjang tempoh kontraknya di Stamford Bridge.

“Saya sepatutnya pergi ke Turkiye pada Jumaat,” tambah Schere. “Namun saya hanya akan tiba pada Ahad selepas perlawanan Christian berakhir jadi saya cuba mencari tempahan penerbangan lain.

“Jika saya menaiki penerbangan itu, saya mungkin berada di sana juga. Hanya Tuhan yang menyelamatkan saya. Isteri saya amat bersyukur kerana saya tidak jadi untuk terbang ke Turkiye akhirnya.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *