Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 9.10 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tersebut ditahan kapal ronda Maritim Malaysia di kedudukan 37.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan OP TANJUNG dan OP PERTIWI.

Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 18 hingga 35 tahun

 Jelas beliau, pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia berumur antara 18 hingga 35 tahun.

“Kesemua mereka bagaimanapun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Sehubungan itu, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Razak, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut anggaran 20 kilogram dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Tegas beliau, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *