Bayi masih bertali pusat dikeluarkan hidup-hidup, ibu maut ditimpa runtuhan

SEORANG bayi perempuan yang tali pusat masih melekat dengan ibunya yang sudah meninggal dunia berjaya dikeluarkan hidup-hidup walaupun ditimpa runtuhan bangunan akibat gempa bumi di Syria, kelmarin.

Menurut Khalil al-Suwadi, bayi itu adalah satu-satunya keluarga terdekatnya yang terselamat, sementara yang lain terbunuh susulan gempa bumi berukuran 7.8 magnitud.

Dua gempa bumi kuat yang menggegarkan utara Syria serta selatan Turkiye meranapkan rumah keluarga Khalil di bandar Jindayris yang dikuasai pemberontak.

“Kami terdengar suara ketika sedang menggali (runtuhan bangunan).

“Kami segera membersihkan kotoran dan menemukan bayi perempuan dengan tali pusat masih melekat pada ibu dan kami memotongnya, kemudian sepupu saya membawanya ke hospital,” katanya kepada AFP, semalam.

Video yang memaparkan usaha menyelamat itu tular di media sosial.

Rakaman video itu menunjukkan seorang lelaki segera berlari daripada timbunan bangunan empat tingkat yang runtuh sambil memegang bayi kecil yang dipenuhi kotoran.

Kemudian seorang lagi lelaki berlari ke arah lelaki pertama sambil membawa selimut bagi berusaha memanaskan bayi dilahirkan dalam suhu bawah sifar, manakala individu yang lain menjerit meminta kenderaan untuk membawanya ke hospital.

Bayi itu dibawa untuk rawatan di bandar berhampiran, Afrin manakala ahli keluarga meneruskan pencarian selama beberapa jam lagi sebelum menemukan mayat bapa bayi itu, Abdullah, ibu Afraa, empat beradik serta seorang ibu saudara.

Rumah keluarga itu antara kira-kira 50 kediaman di Jindayris yang musnah akibat gempa bumi lapor wartawan AFP.

Di dalam inkubator di hospital di Afrin, bayi baru lahir itu yang diselamatkan kelihatan disambungkan ke cairan intravena, badannya luka dan pergelangan tangan kirinya berbalut dengan dahi dan jarinya kebiruan akibat kesejukan.

“Keadaan terkininya stabil. Ketika dibawa ke sini bayi mengalami hipotermia kerana terlampau sejuk,” kata doktor pediatriknya, Dr Hani Maarouf yang bertugas memantau perkembangan bayi itu.

Jindayris dirampas oleh Turkiye dan proksi pemberontak Syria dalam serangan 2018 yang mengusir tentera Kurdish dari wilayah Afrin.

Berikutan itu, wilayah itu terputus daripada wilayah yang dikuasai kerajaan, yang kawasan terbabit sangat bergantung kepada bantuan daripada Turkiye dan tidak mempunyai kepakaran atau tenaga kerja untuk melancarkan tindak balas kecemasan yang berkesan dengan sendirinya.

Dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Turkiye sibuk dengan usaha menyelamat merentasi sempadan, pencarian mangsa yang terselamat di bandar Syria seperti Jindayris ditangguhkan.

Menurut kumpulan penyelamat, White Helmets, yang beroperasi di kawasan yang dikuasai pemberontak di Syria, lebih 210 bangunan musnah di kawasan itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *