Undi Melayu PH hasil campuran dengan BN, kata Sanusi

Oleh BADLISHAH MAT

PERATUSAN sokongan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kononnya mencecah 31 peratus seperti seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kurang tepat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, peratusan berkenaan sebenarnya adalah hasil campuran sokongan orang Melayu kepada PH serta Barisan Nasional (BN).

Katanya, semua pihak boleh membuat penilaian sendiri berkenaan peratusan sokongan orang Melayu yang mana hampir majoriti diraih PN pada pilihan raya itu.

“Dia ambil yang (undi) UMNO masuk situ (dalam peratusan), sokongan orang Melayu kepada UMNO memang ada, UMNO menang 26 kerusi campur (parti komponen) BN, empat kerusi, jadi 30 kerusi.

“Ambil (undi UMNO) bubuh (masukkan) di situ, jadi banyak, macam orang tak tahu. Tidak perlu cakap kami pun dapat sokongan orang Melayu, (sebaliknya) tengok sendiri, orang tahu.

“Saya kata 11 peratus (PH dapat sokongan Melayu), ada yang kata 19 peratus, semalam Perdana Menteri cakap 31 peratus, banyak sebenarnya, pada pandangan saya, 31 peratus itu (termasuk yang) menyokong BN,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah bagi Daerah Pendang, hari ini.

Semalam, Anwar berkata, andaian PH tidak mendapat dukungan pengundi Melayu apabila didakwa hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada PRU15 tidak benar kerana data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan PH menerima sebanyak 31 peratus undian daripada orang Melayu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, mengharapkan agar desas-desus Khairy Jamaluddin akan menyertai PN menjadi kenyataan.

Katanya, penyertaan bekas Ahli Parlimen Rembau itu akan memberikan kesan positif dan kekuatan kepada PN terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa terdekat.

Muhammad Sanusi berkata, PN sentiasa membuka ruang untuk mana-mana individu yang dipecat atau digantung UMNO untuk menyertai parti itu sekiranya mereka berminat.

“(Mereka) yang dibuang daripada UMNO orang baik-baik, orang yang ada potensi hebat, KJ siapa kata tak hebat? Siapa kata Annuar Musa, Noh Omar, Shahidan Kassim, Hishamuddin tidak hebat? Semua ini orang hebat, terkenal di seluruh Malaysia.

“Prestasi KJ berapa lama (berkhidmat), seorang yang hebat, kalau dapat menyertai PN, apa dia nak jadi pun Alhamdullilah. Saya harap ia menjadi kenyataan. Orang baik mai (silakan), orang tidak bagus pergi berhimpun, berkumpul di sebelah sana (PH),” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *