Ulasan ‘Kabinet bayangan’ PN tak cukup sifat kurang tepat, kata Ahmad Fadhli

PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan kenyataan penganalisis politik Universiti Malaya bahawa ‘Kabinet bayangan’ PN tidak cukup sifat dan separuh masak, sebagai kurang tepat.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, gabungan itu sendiri tidak pernah menamakan ahli Parlimen yang diberi tugas memantau prestasi kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sebagai ‘Kabinet bayangan’.

“Saya membaca komen penganalisis politik ini berhubung ‘kabinet bayangan’ Perikatan Nasional. Katanya, ia tidak cukup sifat dan separuh masak.

“Sebabnya ialah, tidak melibatkan wakil kaum bukan Melayu dan sangat kurang penglibatan wakil dari Sabah dan Sarawak selain kurang wakil wanita.

“Saya nak respon, pertamanya Perikatan Nasional tidak menamakan ia Kabinet bayangan. Ia dinamakan Jawatankuasa Portfolio, tugasnya ialah memantau prestasi dan isu kementerian-kementerian dalam kerajaan dan membawanya ke dalam perbahasan di Dewan Rakyat agar tiada isu yang terlepas pandang.

“Jadi apabila dikatakan tiada wakil bukan Melayu, jawapannya ialah tiada wakil bukan Melayu yang menang atas tiket Perikatan Nasional di Semenanjung,” katanya mengulas kenyataan Dr Mohammad Tawfik Yaakub berhubung ‘Kabinet bayangan’ itu.

Semalam, Dr Mohammad Tawfik mendakwa ‘Kabinet bayangan’ PN tidak cukup sifat dan separuh masak kerana tidak melibatkan wakil kaum bukan Melayu.

Dalam masa sama, Dr Mohammad Tawfik berkata penglibatan wakil dari Sabah dan Sarawak disifatkan sangat kurang, selain hanya melantik tiga wanita menyertai barisan Kabinet bayangan itu.

“Saya kategorikan Kabinet bayangan ini seperti kabinet tidak cukup sifat dan separuh masak kerana tidak melibatkan komponen yang paling utama. Misalnya, di mana wakil kaum bukan Melayu, iaitu kaum Cina, India, dan juga wakil Sabah dan Sarawak hanya satu portfolio sahaja, meskipun 29 portfolio diwujudkan.

“Kedudukan wanita bagaimana pula, berbanding dengan Kerajaan Perpaduan yang melantik lima wanita sertai Kabinet, namun, Kabinet bayangan hanya tiga wakil wanita. Ini disifatkan sebagai separuh masak dalam membentuk persediaan jika mereka perlu ganti PH bila-bila masa sahaja,” kata Dr Mohammad Tawfik menurut Awani semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan bahawa Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Ali anak Biju juga mengetuai Jawatankuasa Portfolio dan kedua-duanya bukan Melayu.

“Atau yang dimaksudkan ‘bukan Melayu’ itu perlu berbangsa Cina atau India?

“Perikatan Nasional pula bukan kerajaan yang mempunyai kuasa melantik Senator untuk memegang jawatan Kabinet. Ia berbeza. Begitu jugalah jika dikatakan kurang penglibatan wanita dan wakil Sabah Sarawak.

“Jawapannya ialah berapa ramaikah wanita yang menang atas tiket Perikatan Nasional dan berapa ramaikan wakil Sabah Sarawak yang menang atas tiket Perikatan Nasional? (belum ditolak lagi yang melompat dan diiktiraf oleh Speaker Dewan).

“Jadi, respon saya ialah bukan ‘Kabinet bayangan’ itu yang tidak cukup sifat dan separuh masak, tetapi komen penganalisis ini yang agak kurang tepat,” katanya


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *