“Saya seperti dilahirkan semula”, kata mangsa gempa Turkiye

SEORANG mangsa gempa bumi di Turkiye berkata dia seperti dilahirkan semula selepas terselamat dalam kejadian itu, semalam.

“SAYA seperti dilahirkan semula… Terima kasih Tuhan,” kata Osama Abdelhamid.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama isteri dan empat anaknya sedang tidur di rumahnya.

Osama berkata, dia kemudian merasa gegaran kuat di bangunan empat tingkat yang didiami mereka.

“Kami merasakan gempa itu, ia sangat kuat… Saya menarik keluar bersama anak-anak dan isteri serta berlari terus ke arah pintu masuk rumah.

“Apabila kami sampai ke pintu masuk bangunan itu, ia tiba-tiba runtuh di atas kami.

“Tuhan menyelamatkan kami apabila pintu kayu jatuh ke atas kami dan menyelamatkan kami,” katanya yang tidak dapat menahan sebak, memetik laporan AP yang dilapor Astro AWANI.

Bercerita lanjut, Osama berkata tiga anaknya mengalami luka di bahagian kepala dan muka, sementara seorang lagi anak perempuannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Isteri saya juga luka di kepala dan muka. Alhamdulillah kami datang ke hospital dan mendapatkan pertolongan cemas,” katanya.

Osama turut memaklumkan, difahamkan semua penghuni yang berada di tingkat tiga bangunan tersebut tidak dapat diselamatkan.

Ketika ini, angka korban gempa bumi yang melanda Selatan Turkiye dan Utara Syria meningkat kepada sekurang-kurangnya 4,300 orang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan sedang giat dijalankan.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter berlaku pada 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *