SEORANG pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pei Hwa di Sungai Mati, Tangkak buta mata kanan terkena serpihan bunga api ketika menyertai tarian singa, minggu lalu.
Mangsa yang dikenali sebagai Hao, 18, menyertai rombongan tarian singa di penempatan sekitar daerah ini pada 30 Januari lalu.
Menurut kakak mangsa yang mahu dikenali sebagai Ying, 26, adiknya menyalakan bunga api sebagai sebahagian daripada persembahan di rumah terakhir kira-kira pukul 1 pagi.
“Kami difahamkan adik menyalakan bunga api sebelum ia meletup, menyebabkan adik saya rebah dan mengalami kecederaan di muka.
“Tuan rumah membawa adik ke Hospital Tangkak dan saya bergegas ke sana selepas dimaklumkan kira-kira pukul 2 pagi.
“Selepas menjalani rawatan di situ, adik dirujuk ke Hospital Muar bagi rawatan susulan.
“Saya diberitahu mata kanan adik cedera parah dan doktor menyatakan ia mungkin tidak dapat berfungsi hampir sepenuhnya,” katanya, hari ini, lapor Berita Harian.
Ying berkata, mata kiri adiknya selamat tetapi tetap perlu dipantau atas nasihat doktor.
Walaupun Hao masih boleh melihat, keluarganya tetap berikhtiar dan merujuknya bagi menjalani pemeriksaan mata di hospital pakar di Kuala Lumpur.
Ying mengakui berdepan kesulitan menanggung kos perjalanan ke ibu negara memandangkan mereka hanya keluarga sederhana manakala bapanya baru mengalami kemalangan jalan raya.
“Saya tidak akan putus asa dan berharap masih ada peluang bagi adik saya demi masa depannya” katanya yang dalam proses memohon kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Hao.
Leave a Reply