Jawatan Ketua Wanita UMNO mungkin jadi rebutan

KEDUDUKAN Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad sebagai Ketua Wanita UMNO ‘goyah’ selepas jawatan itu dijangka dipertandingkan berikutan keadaan pergerakan itu yang kini dikatakan berdepan pergolakan.

Menurut Penganalisis Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, tidak dapat dinafikan dalam keadaan sekarang, memang akan berlaku pertandingan bagi jawatan itu.

Ini kerana katanya, kedudukan Noraini tidak cukup kuat kerana beliau tidak dilantik dalam Kabinet.

“Walaupun menang bagi mempertahanan Parlimen Parit Sulong tetapi beliau tidak dipilih dalam kerajaan sebagai menteri.

“Jadi orang nampak di situ ada peluang untuk mencabar jawatan beliau,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Izani berkata, Wanita UMNO perlu mengambil peluang dalam pemilihan nanti untuk menentukan siapa Ketua Wanita paling layak memimpin sayap UMNO.

Katanya, Wanita UMNO adalah sayap yang sangat penting dan menjadi tulang belakang kepada UMNO selama ini.

“Ketua Wanita yang dipilih nanti mesti dapat menggerakkan dan mengumpul kekuatan UMNO melalui sokongan wanita di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu apabila ditanya, dakwaan majoriti Ketua Wanita UMNO Bahagian mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO, Mohd Izani berkata, sepatutnya tahap Shahrizat ketika ini adalah menjadi mentor atau penasihat.

“Saya tidak nampak keperluan atau kerelevanan beliau masuk dalam arus perdana. Beliau lebih sesuai bertindak sebagai tokoh lama atau veteran yang boleh membantu UMNO.

“Tetapi terpulang kepada Wanita UMNO jika mereka melihat Shahrizat yang layak dan boleh menggerakkan Wanita dengan lebih baik.

“Saya kira itu pilihan Wanita UMNO yang perlu dihormati,” katanya.

Namun beliau berkata, pada masa sama sudah pasti akan melihat UMNO seperti ketandusan pemimpin.

Katanya, dengan memilih pemimpin lain menerajui sayap itu, sudah pasti akan dapat melahirkan pemimpin muka baharu yang dapat teruskan perjuangan parti untuk menarik minat orang muda,” katanya.

Jumaat lalu, dilaporkan majoriti Ketua Wanita UMNO Bahagian mahu Shahrizat kembali menerajui kepimpinan Wanita UMNO selepas pemilihan parti itu bulan depan.

Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah, dilaporkan berkata seramai 147 Ketua Wanita UMNO Bahagian membuat keputusan itu dalam satu pertemuan dengan Shahrizat baru-baru ini.

BH sebelum ini turut melaporkan, sumber Wanita UMNO mengesahkan, Noraini yang menerajui sayap itu sejak 2018 akan mempertahankan jawatannya.

Bagaimanapun semalam, Wanita UMNO menafikan dakwaan kononnya ketua sayap parti itu di peringkat negeri dipaksa membuat kenyataan menyokong Noraini untuk kekal sebagai teraju dalam pemilihan akan datang.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tohmahan, Setiausahanya, Datuk Rosni Sahar, dilaporkan berkata angka sokongan terhadap individu yang akan bertanding bagi jawatan Ketua Wanita UMNO itu seperti disebarkan juga tidak benar.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *