ADUN Jabi dari Pas, Dr Azman Ibrahim yang dikecam kerana menyamakan wanita seperti “barang”, mempertahankan kenyataannya dengan menegaskan ia hanyalah peribahasa dan analogi.
Menurutnya yang juga ahli Jawatankuasa Pas Pusat membuat kenyataan itu menerusi ciapan di Twitter, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman mengenai dakwaan seorang wanita tidak dibenarkan masuk membuat laporan di balai polis kerana berseluar pendek.
“Awok-awok kita tolong gak tambah lagi, puak-puak ni tak belajar peribahasa, ibarat dan analogi,” katanya di Twitter.
Azman turut memberi contoh beberapa peribahasa, namun ciapan beliau terus mendapat kecaman warganet.
“Bagai anjing dengan bayang-bayang maknanya orang yang tamak. Bukan kata awak anjing.
“Bagai anjing menyalak bukit maknanya kerja yang tak memberi kesan bukannya kata awak anjing,” katanya.
“Macam rusa masuk kampung maknanya orang yang terpinga-pinga di tempat baru bukan kata awak rusa,” tambahnya lagi, lapor Free Malaysia Today.
Terdahulu, Azman berkata wanita, yang menurutnya harus “dibungkus comel dan kemas”.
“Barang mahal bernilai tinggi akan dibungkus comel dan kemas,” katanya.
Kebanyakan pengguna media sosial membidas Azman, mendakwa beliau seakan memandang rendah wanita.
Minggu lalu, seorang wanita mendakwa dilarang memasuki Balai Polis Kajang untuk membuat laporan mengenai kemalangan dialaminya.
Dakwanya, beliau dilarang masuk walaupun memakai seluar pendek menutup bahagian lututnya dan hanya dibenarkan selepas kakaknya membawa seluar panjang untuknya.
Sabtu lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, mereka yang pergi ke balai polis perlu menjaga prinsip kelima Rukun Negara dan berpakaian sopan serta menjaga akhlak.
Leave a Reply