ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria boleh meningkat kepada lebih 20,000 orang.
Pegawai kecemasan kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Catherine Smallwood berkata, kemungkinan itu berdasarkan pemerhatian agensi itu dalam kes-kes terdahulu melibatkan kejadian bencana gempa.
“Terdapat kemungkinan berlaku runtuhan berterusan, jadi kami sering melihat kebarangkalian lapan kali ganda peningkatan pada angka awal.
“Kami sentiasa melihat perkara yang sama melibatkan gempa bumi, iaitu laporan awal jumlah mangsa yang meninggal dunia atau cedera meningkat dengan ketara pada minggu berikutnya,” kata Smallwood, menurut laporan Astro AWANI.
Angka kematian akibat gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang menggegarkan Turkiye dan Syria semalam mencecah 4,300 orang setakat pukul 10 pagi waktu Malaysia.
Jumlah kematian di Turkiye meningkat kepada 2,900 orang, kata Naib Presiden Turki Fuat Oktay.
Di Syria, 711 kematian dilaporkan di kawasan yang dikawal kerajaan, manakala Agensi Pertahanan Awam Syria “White Helmets” melaporkan 740 kematian di kawasan yang dikawal pembangkang.
Leave a Reply