AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 11.44 pagi semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru dan melanggar syarat sah lesen menangkap ikan.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh Kapal Maritim Malaysia ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika rondaan OP PERTIWI dan OP TANJUNG.
Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 14 batu nautika barat daya Pulau Kendi iaitu kurang 15 batu nautika dari pantai mengikut syarat sah lesen.
Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan lima kru warga Myanmar berumur antara 20 hingga 41 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, lima kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan menangkap ikan di kawasan larangan mengikut syarat lessen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Razak, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 500 kilogram hasil laut disita sebelum dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah dilakukan sebelum ini.
“Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
Leave a Reply