53 kenderaan disaman kurang tiga jam operasi JPJ

HANYA kurang dalam tempoh tiga jam, sebanyak 53 buah kenderaan dikenakan saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di sekitar Jalan Ampang Jajar, Butterwoth, Sabtu lalu.

JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi selama dua jam setengah itu bermula kira-kira pukul 9 pagi dan melibatkan seramai 12 anggota penguat kuasa badan berkuasa berkenaan.

Katanya, penguatkuasaan itu dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987 dan Kaedah-kaedah dibawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang mana secara keseluruhan, sebanyak 297 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, terdapat beberapa kesalahan teknikal lain yang turut dikesan seperti menggunakan cermin gelap, lampu isyarat kenderaan dan brek yang tidak berfungsi, pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran serta nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang menasihatkan pengguna jalan raya di negeri ini supaya mematuhi pada peraturan dan undang-undang semasa pemanduan.

Pada masa sama, mereka juga diingatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat semasa di jalan raya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *