Menu Rahmah: Murah tidak semestinya bagus, bukan langkah tepat sudut ekonomi

MENU Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan B40 menikmati juadah pada harga bawah RM5, bukan satu langkah tepat dari sudut ekonomi.

Pakar ekonomi, Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, langkah itu lebih bersifat emosi berbanding ekonomi.

“Kerajaan ambil maklum mengenai menu dan harga. Berhati-hati. Saya hargai niat itu, tetapi tidak di sudut ekonomi.

“Mungkin ia dapat mudah sedikit mempromosikan menu ‘berpatutan. (Tindakan) Lebih emosi dari ekonomi,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

Menurut Noor Azlan, meskipun murah, ia tidak semestinya bagus, sebaliknya perlu ada had dalam penetapan harga.

“Kerajaan bekerjasama dengan persatuan pembekal (erti kata lain ‘bersubahat’) untuk menetapkan harga yang jelas menentang persaingan sihat di pasaran.

“Harap isu yang lebih besar tidak dibiarkan begitu sahaja. (Contoh) Pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, peluang untuk semua, gaji yang adil, pasaran yang cekap, harga berpatutan, kemampuan, produktiviti.

“(Dengan) Semangat yang disasarkan, lebih baik membantu golongan memerlukan secara terus daripada campur tangan pasaran terbuka,” katanya.

Mengulas lanjut Noor Azlan memberitahu. keutamaan perlu diberikan kepada meningkatkan pendapatan yang lebih kekal lama.

“Kerajaan teruskan usaha membantu rakyat. Kita hargai,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha kerajaan itu bagi membantu golongan B40 serta miskin yang memerlukan makanan siap dimasak.

Pengenalan harga RM5 ke bawah itu merangkumi nasi, seketul ayam atau seekor ikan dan sayuran.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *