Mahu jadi penceramah bebas, Noh ikrar mahu ‘bercakap benar’

BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang dipecat berhasrat untuk menjadi penceramah bebas di pentas politik.

Noh terbuka untuk berceramah di mana-mana platform yang ditawarkan kepadanya, termasuk Perikatan Nasional mahupun UMNO, sekiranya parti lamanya itu menghantar undangan kepadanya.

“Saya tengok dulu,” katanya ketika ditanya rancangannya selepas dipecat UMNO.

“Sekarang saya tengah berehat tapi yang confirm, saya akan jadi penceramah bebaslah.

“Jadi kalau esok, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke, atau sekarang ini ke, kalau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) nak jemput saya bagi ceramah, saya bagi ceramah.

“Kalau Pas jemputpun, saya akan datang, kalau UMNO pun sudi jemput saya. Kalau nak jemput no problem, saya di mana pun saya ceramah.

“Saya akan cakap perkara yang benar paling kurang apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita semalam selepas menghadiri majlis penghargaan untuknya anjuran Sekretariat Veteran Umno Tanjong Karang.

Pada 27 Januari lalu, bekas menteri Persekutuan itu dipecat daripada parti.

Noh pada mulanya digantung selama enam tahun kerana didakwa melanggar disiplin UMNO, tetapi dipecat selepas meminta parti itu menyingkirkan keanggotaannya.

Berikutan itu, Noh dilaporkan berkata beliau sedang menunggu ‘tawaran terbaik.’

Sementara itu, Noh menjangkakan UMNO akan menghadapi cabaran sukar di Selangor semasa pilihan raya negeri, terutama dalam keadaan parti itu berdepan Bersatu dan Pas.

Menurut bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, pilihan raya umum baru-baru ini menyaksikan UMNO tidak dapat mempertahankan kerusi parlimennya walaupun di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat parti itu.

Noh bersama pemimpin lain yang juga dipecat UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin ketika kempen PRU15 Dengan UMNO kini bekerjasama dengan DAP, dia mendakwa tugas bekas partinya itu akan menjadi lebih sukar kerana ramai orang Melayu akan mengalihkan sokongan mereka kepada PN.

“Tadi saya pergi kenduri, (ada orang) dia mengaku tok saya undi BN PRU lepas. Saya kata habis pilihan raya akan datang macam mana?

“Dia kata dulu kalau saya tahu UMNO nak bersama DAP, saya tak undi. (PRN) kali ini dia kata minta maaflah,” kata Noh.

Menyentuh mengenai pilihan raya umum baru-baru ini, beliau berkata jika UMNO bersekutu dengan Bersatu dan Pas di bawah panji Muafakat Nasional (MN) yang tidak menjadi kenyataan, mereka akan memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen.

Menurut hitungannya, Noh berkata UMNO boleh menang di Sungai Buloh, Kuala Selangor dan Hulu Langat jika calon mereka tidak bertembung calon Pas dan Bersatu.

Tiga kerusi parlimen itu dimenangi Pakatan Harapan pada PRU15.

“Di Selangor la, kalau bertembung tiga penjuru, memang susah nak menang.

“Sebab Selangor ni banyak kawasan campuran. Pengundi Melayu dan bukan Melayu pula sama kalau undi Melayu pecah dua, tiga penjuru memang kalah lah,” katanya.

MN merupakan pakatan politik yang dimulakan oleh UMNO dan Pas, sebelum Bersatu dijemput untuk menyertainya.

Bagaimanapun, MN runtuh terutamanya disebabkan perseteruan politik antara UMNO dan Bersatu, yang menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjarakkan daripada kerjasama itu dan berakhir apabila Pas bersekutu dengan Bersatu.

Walaupun begitu, terdapat pemimpin UMNO yang masih menyokong kerjasama politik melalui gagasan MN.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *