NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ahli Wanita UMNO tidak perlu tergesa-gesa meminta mana-mana pemimpin sayap parti itu mengundur diri daripada jawatan mereka, sebaliknya berbuat demikian menerusi pemilihan parti yang dijadualkan bulan depan.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menegaskan, sekiranya ada pihak yang tidak menyukai mana-mana individu yang bertanding bagi sesuatu jawatan, maka tidak perlu mengundi mereka pada pemilihan kelak.
“Saya percaya tidak perlu tergesa-gesa (gesa undur) sebab tidak lama lagi ada pemilihan, jadi jika kita tidak suka, tak perlu undi,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di Johor Bahru, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan supaya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berundur dan tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti, bulan depan.
Jelas Mohamed Khaled, pemilihan parti dibuat secara terbuka dan mana-mana pihak boleh bertanding merebut jawatan berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa pemimpin Wanita UMNO menggesa supaya Noraini berundur sebagai tanda bertanggungjawab atau memperbetulkan salah laku sepanjang mengetuai sayap itu.
Masa sama, ada pemimpin Wanita UMNO mendakwa majoriti ketua wanita bahagian seluruh negara mahu bekas ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, kembali menerajui kepimpinan sayap itu pada pemilihan parti bulan depan.
Sementara itu, Mohamed Khaled pula enggan memberi kata putus ketika ditanya sama ada akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian Pasir Gudang atau bertanding sebagai Ketua UMNO bahagian Kota Tinggi, memandangkan beliau kini adalah Ahli Parlimen Kota Tinggi.
“Saya Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang dan Ahli Parlimen Kota Tinggi,” selorohnya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply