ANGKA kematian akibat gempa bumi kuat yang menggegarkan tenggara Turkiye berhampiran sempadan Syria awal pagi tadi ketika kebanyakan mangsa sedang tidur meningkat melebihi 500 orang setakat ini.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa dengan kekuatan 7.8 magnitud pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan itu berlaku pada kedalaman 17.9 kilometer di bandar Gaziantep.
Lapor BBC, Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay berkata, angka kematian di negara itu kini berjumlah 284 orang manakala manakala lebih 2,300 lagi cedera.
Media tempatan Syria melaporkan 230 orang penduduk terbunuh dalam kejadian itu.
Kementerian Kesihatan Syria memaklumkan, kebanyakan penduduk terbunuh di wilayah Aleppo, Latakia, Hama dan Tartus.
Sekurang-kurang 245 dilaporkan maut di kawasan terletak bawah kawalan kerajaan Syria, selain mangsa terkorban di bahagian utara yang dikuasai kumpulan pro-Turkiye, menurut Kementerian Kesihatan dan sebuah hospital tempatan.
Ketua Pusat Gempa Bumi Nasional Syria, Raed Ahmed, memberitahu radio prokerajaan bahawa ‘ia adalah gempa bumi terbesar pernah direkodkan dalam sejarah pusat itu.
Terdapat kebimbangan angka korban akan meningkat dalam tempoh beberapa jam lagi.
Gempa itu meranapkan banyak bangunan, manakala gegaran dapat dirasai hingga sejauh Cyprus dan Mesir.
Pusat gempada adalah di daerah Pazarcik di wilayah Kahramanmaras. Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, sebanyak 10 bandar terjejas teruk.
Bandar itu ialah Gaziantep, Kahramanmaras, Hatay, Osmaniye, Adiyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat diteruskan di beberapa bandar utama Turkiye. Namun, usaha itu berdepan cabaran cuaca buruk musim sejuk dengan ribut salji yang melitupi jalan-jalan utama.
Rakaman disiarkan televisyen menunjukkan penduduk Turkiye yang kelihatan terkejut dan trauma dengan insiden itu, berdiri dalam salji menyaksikan anggota SAR bertungkus lumus melakukan kerja-kerja menyelamat.
Pusat perkhidmatan kecemasan Turkiye, AFAD melaporkan gempa pertama dicatat pada 7.4 magnitud dan diikuti lebih 40 gempa susulan.
Kali terakhir gempa bumi kuat direkodkan di Turkiye adalah pada 1999 dengan lebih 17,000 penduduknya terbunuh.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, menzahirkan perasaan simpati dan ucapan takziah.
“Diharap kita akan dapat melepasi bencana ini bersama-sama dan ia berakhir secepat mungkin dengan kemusnahan paling sedikit,” katanya dalam ciapan.
Penasihat Keselamatan Nasional Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan, berkata Washington amat prihatin dan bersedia untuk memberi sebarang bantuan diperlukan susulan kejadian itu.
Leave a Reply