Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditahan polis kerana berkelakuan biadab menunjukkan kemaluan kepada dua wanita selain beronani sambil menunggang motosikal di Jalan Teroi menuju ke Sungai Yan, Kedah, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian itu didakwa berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi tadi ketika seorang wanita bersama anak saudaranya melalui jalan tersebut.
“Wanita itu membonceng motosikal ditunggang anak saudaranya yang juga seorang perempuan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kursus kulinari. Tiba-tiba, mereka berselisih dengan suspek yang sedang dalam perjalanan ke arah bertentangan sambil beronani.
“Walaupun tidak mempedulikan tindakan suspek, lelaki itu bagaimanapun secara tiba-tiba memecut dan mengekori mereka sambil terus beronani. Disebabkan itu wanita berkenaan mengeluarkan telefon pintarnya dan merakam perbuatan suspek,” katanya.
Sehubungan itu katanya, wanita berkenaan hadir ke Balai Polis Yan untuk membuat laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.
“Kedua-dua mereka bimbang kerana sering menggunakan laluan tersebut.
“Bertindak atas laporan itu, pihak polis kemudiannya melakukan tangkapan terhadap suspek setelah dia dikenal pasti melalui beberapa maklumat diterima,” katanya.
Tambahnya kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Tindakan suspek itu turut dikecam orang ramai apabila perbuatan biadabnya itu tular di media sosial.
Leave a Reply