BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, sedia berundur daripada arena politik, dengan perancangan awal untuk berehat sebelum ini sepatutnya selepas berakhir penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Perancangan awal itu bagaimanapun terpaksa dilupakan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 20 Ogos 2021 bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya ada merancang jika menang PRU-14, saya akan terus jadi menteri, selepas itu berhenti dan jadi Senator. Tamat perkhidmatan Senator, saya akan terus berhenti,” katanya dalam wawancara khas bersama Berita Harian.
Ahli Parlimen Bera itu yang dilihat seperti tidak sehaluan dengan kepemimpinan tertinggi parti berkata, pilihan raya umum (PRU) pada 19 November lalu adalah terakhir disertainya.
“Sebenarnya saya merancang untuk berehat selepas PRU-14, namun ditakdirkan jadi Perdana Menteri,” kata Naib Presiden UMNO itu yang dilantik ke jawatan tertinggi berkenaan selepas hanya 42 hari menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Mengulas perkembangan dalam UMNO, Ismail Sabri mengakui parti makin hilang sokongan berikutan kekalahan pada dua PRU berturut-turut.
“Tindakan ‘membuang’ satu pasukan untuk mengekalkan satu lagi pasukan hanya menimbulkan pergolakan, akhirnya semakin kurang penyokong. Ini yang saya bimbangkan mengenai masa depan UMNO.
“Ahli baharu yang hendak masuk (sertai UMNO) pun kurang, yang ada pula keluar. Mungkin keadaan sekarang dikatakan aman kerana tiada lagi ‘kaki melawan’, tetapi sokongan semakin hilang,” katanya.
Beliau merujuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat beberapa pemimpinnya selepas PRU-15 kerana dikatakan melanggar peraturan dan keputusan parti, manakala beberapa yang lain pula digantung keahlian.
Sebelum PRU-15, antara nama-nama besar yang dipecat adalah Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, disusuli pemecatan terbaru membabitkan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar pada 27 Januari lalu.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda, Shahril Sufian Hamdan pula antara yang digantung keahlian selama enam tahun.
Khairy dan Noh antara yang lantang mengkritik kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 20222) pertengahan Januari lalu yang meluluskan usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti.
Leave a Reply