Bot nelayan Indonesia ceroboh perairan negara ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 12.46 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia pada kedudukan 37 batu nautika barat daya Pulau Kendi ketika melaksanakan rondaan OP TANJUNG dan OP PERTIWI.

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas bot itu mendapati, bot terbabit berpangkalan di Pangkalan Susu, Indonesia dan dikendalikan lima kru warga Indonesia berumur antara 21 hingga 50 tahun.

“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

Maritim menahan sebuah bot nelayan asing dari Indonesia yang dipercayai menceroboh perairan negara pukul 12.46 tengah hari semalam

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Tambah beliau, bot serta kru ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, tegasnya, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

Ujarnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *