Apabila jualan, pembakaran mercun dan bunga api ‘dihalalkan’

SEWAKTU penulis di alam kanak-kanak, lambakan mercun yang dijual di kebanyakan kedai kampung memang terlalu banyak sebaik sahaja memasuki bulan Ramadan.

Pelbagai jenis mercun boleh dibeli dengan mudah antaranya mercun bola, katak, roket dan kilat.

Ketika itu, suasana kampung pada sebelah malam terlalu gelap kerana kebanyakan rumah penduduk hanya menggunakan pelita minyak tanah dan belum ada cahaya elektrik.

Sebahagian besar rumah di kampung penulis pula adalah beratap zink, asbestos rumbia dan nipah.

Penulis masih ingat, pernah beberapa kali menjelang umat Islam ingin menyambut hari raya Aidilfitri, berlaku kejadian kebakaran membabitkan rumah penduduk beratap nipah hanya gara-gara tindakan kanak-kanak membakar mercun.

Ekoran kejadian itu, maka penghuni rumah terbabit terpaksa menumpang di rumah saudara mara dan tidak dapat menyambut hari lebaran sepertimana orang lain.

Beberapa tahun selepas itu, berlaku pula kejadian remaja putus tangan, jari dan buta mata akibat bermain mercun bola.

Ia berlaku apabila ada dalam kalangan mangsa terbabit bertindak dengan memasukkan serbuk mercun yang dihancurkan ke dalam batang besi paip sebelum ia tiba-tiba meletup.

Boleh dikatakan kejadian ini berlaku pada setiap tahun ketika umat Islam ingin menyambut hari raya.

Kerajaan Perpaduan yang akan membenarkan semula jualan mercun dan bunga api di negara ini dianggap sebagai amat malang.

Kejadian terakhir dilaporkan berlaku ialah pada tahun lalu (2022) apabila seorang remaja lelaki berusia 14 tahun putus tiga jari tangan kanan setelah terkena mercun bola dalam kejadian di Kampung Lembah Beris Kubur Besar Tawang, Bachok, Kelantan.

Ketika kejadian mangsa yang sedang bermain mercun bola di belakang rumahnya dikatakan tidak sempat membaling mercun berkenaan lalu ia meletup di tangannya.

Selain itu, mangsa juga mengalami luka dibahagian leher akibat terkena percikan api mercun tersebut.

Begitulah antara sedutan betapa bahayanya mercun yang sebelum ini pernah diharamkan penjualan dan pembakarannya oleh pihak kerajaan.

Bagaimanapun, keputusan jemaah menteri kabinet Kerajaan Perpaduan yang akan membenarkan semula jualan mercun dan bunga api di negara ini dianggap sebagai amat malang.

Banyak pihak termasuk persatuan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Ada pihak berpendapat, kerajaan tidak sewajarnya menghalalkan semula penjualan dan pembakaran mercun serta bunga api kerana sudah diketahui ia sangat berbahaya.

Sementara kebanyakan ibu bapa pula berpendapat, selain risiko keselamatan, pembelian dan pembakaran mercun oleh kanak-kanak adalah satu pembaziran.

Bagi NGO pula, ada yang menyarankan supaya penjualan mercun dan bunga api perlu dikaji semula bagi mengurangkan risiko kemalangan dan episod duka kejadian putus jari atau buta mata akibat pembakaran bahan letupan tersebut.

Jumaat lalu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk membenarkan penjualan mercun dan bunga api, namun ia tertakluk kepada peraturan serta garis panduan yang akan dikeluarkan nanti.

Sesiapa didapati bersalah memiliki, menjual, membeli, bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan ketika ini

Menurut beliau, bagi tujuan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menentukan garis panduan manakala isu membabitkan duti akan ditetapkan Kementerian Kewangan.

Katanya, perkara itu dipersetujui melalui mesyuarat Kabinet selepas mengambil kira penjualan mercun dan bunga api boleh menjadi satu lagi punca hasil pendapatan kepada negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu dasar dan garis panduan daripada KDN berhubung kebenaran aktiviti pembakaran serta penjualan bunga api dan mercun.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya mengikuti apa jua garis panduan dan dasar yang ditetapkan dalam usaha menjamin keselamatan orang ramai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini larangan jual beli mercun masih berkuat kuasa dan menasihati orang ramai supaya tidak memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api untuk semua perayaan, termasuk sambutan Chap Goh Meh pada Selasa ini.

Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

Justeru, sesiapa didapati bersalah memiliki, menjual, membeli, bermain mercun atau bunga api selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Penulis berharap semua pihak khususnya ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak agar tidak membeli dan membakar mercun serta bunga api menjelang hari perayaan nanti bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Namun, apa yang membimbangkan ialah sekiranya terdapat golongan dewasa yang masih ‘tidak puas’ dengan aktiviti membakar mercun.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *