Datuk Wan Saiful Wan Jan

Segera tamatkan siasatan akaun Bersatu, kata Wan Saiful

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyegerakan siasatan akaun Bersatu supaya gerak kerja dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak terganggu.

Wan Saiful berkata, permohonan sudah dibuat melalui satu surat yang dihantar kepada SPRM melalui peguam yang dilantik Bersatu.

“Kita (Bersatu) yakin kita tidak bersalah dan walaupun siasatan selesai, tiada apa yang akan berlaku kerana akaun kita bersih.

“Masalah utama sekarang adalah pembekuan akaun. Kita sudah tulis kepada SPRM dan memohon siasatan disegerakan serta ditamatkan supaya kita boleh jalankan kerja parti seperti biasa,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan nelayan bersama Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad, di Jeti Nelayan Padang Benggali, di Tasek Gelugor, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Bersatu memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan badan itu.

Ujarnya, pegawai parti termasuk dirinya juga sudah dipanggil SPRM bagi memberi keterangan.

“Kita beri kerjasama sepenuhnya kerana kita yakin, lebih cepat siasatan selesai, lebih cepat kita dibuktikan tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, tindakan membekukan akaun parti itu turut menampakkan kecacatan demokrasi dan dilihat seolah-olah dibuat ekoran kebimbangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan kemaraan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, PN dijangka menang besar di lima negeri dan menawan banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRN akan datang.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu.

Azam dilaporkan berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *