PERUNTUKAN pembangunan yang disalurkan kepada Ahli Parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat, tidak sepatutnya diganggu atau dikurangkan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa peruntukan pembangunan tersebut akan diberikan kepada semua Ahli Parlimen, tanpa menggira parti seperti yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.
Menurutnya, jaminan itu amatlah penting diberikan kerana ia juga selaras dengan Tawaran Harapan yang dibuat oleh Pakatan Harapan semasa PRU-15, iaitu Peruntukan Kawasan Sama Rata.
“PN memandang berat kenyataan Perdana Menteri yang mengesahkan peruntukan pembangunan kepada Ahli-ahli Parlimen akan dikurangkan pada tahun ini sebanyak 65 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Meskipun Kerajaan Persekutuan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras dengan kedudukan dan kekangan ekonomi negara, namun peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui Ahli Parlimen yang memberikan manfaat dan faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu meskipun dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, PN berharap Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengutamakan kepentingan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan serta balas dendam kepada pihak pembangkang.
Katanya ini kerana, Ahli Parlimen pembangkang juga menerima mandat yang sah daripada rakyat melalui saluran demokrasi pilihan raya dan memenuhi lunas-lunas undang-undang, ujarnya.
Selain itu, Takiyuddin berkata jaminan memberikan peruntukan yang sama rata kepada Ahli Parlimen adalah selaras dengan tawaran Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan sebanyak 65 peratus berbanding tahun sebelumnya sebagai langkah mengawal kewangan.
Leave a Reply