PENUNTUT sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar, Mersing, pada 1 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan motosikal milik Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 19, di kawasan berhampiran pulau itu dalam keadaan baik dan tidak berkunci, semalam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada 5 petang semalam membabitkan 22 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat Endau serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing.
“Operasi peringkat awal membabitkan pencarian di hutan dan persisiran pantai.
“Operasi dihentikan pada 7 malam atas faktor keselamatan berikutan cuaca gelap dan hujan. Operasi disambung semula pada 8 pagi hari ini,” katanya hari ini..
Abdul Razak berkata, laporan polis mengenai kehilangan mangsa dibuat oleh bapanya di Balai Polis Kluang pada awal pagi semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing, Lt M (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri berkata, seorang saksi awam mengaku ada bersembang dengan mangsa pada 1 Februari lalu.
“Saksi memberitahu pihak APM bahawa mangsa ingin masuk ke Pulau Mawar tanpa arah tuju.
“Mangsa kemudian beredar dengan meninggalkan sebuah motosikal di kawasan tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, APM berpendapat mangsa hilang dan sesat di pulau itu.
Katanya, pada hari kedua SAR hari ini, lima agensi terbabit iaitu polis, bomba, APM, Majlis Daerah Mersing dan malim gunung.
“Mangsa masih lagi belum ditemui sehingga pukul 10.20 pagi hari ini,” katanya, lapor Harian Metro.
Leave a Reply