Keahlian digantung: Hishammuddin, Maulizan wajar diberi peluang – UMNO Johor

UMNO Johor mahu Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang, mengemukakan rayuan dan membela diri terhadap pertuduhan serta sabitan yang dikenakan terhadap mereka.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Khas Perhubungan UMNO negeri, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, UMNO Johor akur dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menggantung keahlian Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong dan Maulizan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau, selama enam tahun.

“UMNO Johor menzahirkan rasa sedih dengan apa yang berlaku lebih-lebih lagi membabitkan dua pemimpin iaitu Hishammuddin dan Maulizan, yang banyak berjasa kepada UMNO negeri.

“Jadi, UMNO Johor bersetuju supaya kedua-dua pemimpin ini wajar diberikan peluang membela diri dan merayu atas tindakan yang dikenakan itu,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali dan Bendahari UMNO Johor, Datuk Jais Sarday.

Pada 27 Januari lalu, MKT dilaporkan menggantung keahlian selama enam tahun terhadap Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO dan Maulizan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, selain memecat lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi, berkata tindakan disiplin dan penggantungan MKT itu tidak akan menjejaskan UMNO Johor berikutan beberapa pimpinan UMNO negeri sebelum ini pernah berdepan tindakan sama.

Katanya, individu yang digantung tidak boleh berputus asa kerana sekiranya usaha dilakukan seperti membuat rayuan, tempoh penggantungan mungkin dapat dipendekkan.

“Ini bukan kali pertama pimpinan UMNO Johor digantung atau dikenakan tindakan disiplin. Di Johor, kita pernah melaluinya sebelum ini tetapi UMNO terus melaksanakan tanggungjawab dan tidak berdepan kekangan sehingga menyebabkan parti tidak dapat bergerak.

“Namun yang lebih penting, mereka yang dikenakan tindakan itu sebahagian besarnya kembali semula kepada UMNO, antaranya Tan Sri Shahrir Ab Samad dan Muszaidi Makmor yang kini Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi.

“Kita percaya jika ada usaha dibuat, pastinya penggantungan Hishammuddin dan Maulizan dapat dipendekkan seperti berlaku kepada Datuk Lokman Nor Adam. Tidak boleh putus asa, kerana hukuman bukanlah penamat karier politik,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *