Usul tambahan PAU: Kenyataan Ahmad Maslan pramatang, RoS masih siasat

KENYATAAN Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran seolah-olah isu berhubung kelulusan usul tambahan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan telah selesai disifatkan pramatang.

Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir berkata, kenyataan itu dianggap pramatang kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam surat maklum balas kepadanya memaklumkan bahawa isu tersebut masih dalam proses semakan.

Malah, Aizat Fikri yang membuat aduan kepada RoS berhubung isu tersebut berkata, RoS menyatakan siasatan terperinci masih dijalankan.

“Saya telah menerima surat maklum balas daripada RoS bertarikh 26 Januari 2023.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak RoS kerana telah mengambil serius aduan saya mengenai pelanggaran Perlembagaan UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

“Dalam surat berkenaan, RoS telah menyatakan pihak mereka sedang dalam proses semakan dan siasatan terperinci berkaitan aduan saya.

“Saya menganggap kenyataan Setiausaha Agung UMNO yang menggambarkan perkara berkenaan seolah-olah selesai adalah pramatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Aizat Fikri berharap supaya Ahmad tidak mendahului dan mencampuri siasatan yang sedang dijalankan RoS.

Katanya, perkara tersebut boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjaga tata kelola pertubuhan di Malaysia.

Beliau turut percaya RoS akan menjalankan siasatan eksplisit dengan memanggil perwakilan -perwakilan yang berada di Dewan Merdeka termasuk Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi mendapatkan gambaran jelas dan adil.

“Dalam perbincangan bersama tempoh hari, RoS juga memaklumkan mereka sendiri akan mendapatkan nasihat dan panduan daripada penasihat undang-undang kementerian.

“Bagi saya hal ini jauh daripada selesai, semoga kebenaran akan tertegak jua,” jelas beliau, lapor Utusan TV.

Terdahulu, Ahmad dalam hantaran di Facebook menegaskan usul tambahan yang diluluskan sewaktu PAU 2022 melibatkan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan tidak melanggar Perlembagaan parti atau Peraturan Mesyuarat.

Ahmad berkata, proses melibatkan usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang itu berjalan dengan teratur.

Malah, beliau berkata, sekitar 90 peratus perwakilan setuju dengan usul tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Selasa lalu, Ahmad bersama tiga individu lain hadir memberi penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan itu.

20 Januari lalu, Aizat Fikri dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan tersebut.

Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *