PULAU Pinang mungkin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelang akhir Mei depan.
Ini sekali gus akan menyaksikan PRN diadakan pada bulan Jun atau Julai.
Memetik laporan BH Online, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pembubaran DUN pada akhir Mei itu bagi menyeragamkan semua negeri yang terlibat dengan PRN.
“Ada negeri mengadakan sidang pertama DUN pada Jun…Julai dalam kes Pulau Pinang, tarikh 2 Ogos (dikira) lengkap lima tahun. Tapi kalau dari segi politik dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tarikh 8 Mei sudah genap lima tahun.
“Bagi saya, kalau selepas tarikh 8 Mei atau ke atas, DUN Pulau Pinang boleh dibubarkan bila-bila masa. Mungkin kalau dibubarkan akhir Mei, PRN perlu diadakan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai,” katanya.
Bagaimanapun, Kon Yeow memaklumkan masih belum ada mesyuarat secara rasmi bagi membincangkan tarikh sesuai mengadakan PRN walaupun ada Menteri Besar dari negeri lain telah membuat beberapa kenyataan.
Menurut Kon Yeow, beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat antara Perdana Menteri dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 21 Februari ini di Putrajaya.
Beliau tidak menolak kemungkinan perkara mengenai PRN akan turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
“Sebenarnya, masih tiada mesyuarat secara rasmi (membincangkan PRN) walaupun dalam tempoh ini Menteri Besar dari negeri lain ada membuat kenyataan.
“Pertemuan dengan Menteri besar lain hanya akan berlaku pada 21 Februari, jadi boleh bincang. Minggu berkenaan ada dua mesyuarat, yang membolehkan kita berbincang..satu lagi ialah pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.
“Tetapi, sebelum ini kita sudah bincang untuk bubar dalam tempoh penuh (lima tahun). Namun, ada Menteri Besar yang rasa dia boleh menang, jadi dia mahu cepatkan lagi. Apa pun, Jun atau Julai, bukan bukan Januari atau Februari,” katanya.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata, pembubaran DUN negeri itu mungkin diadakan pada 1 Jun ini untuk memberi laluan kepada PRN.
Sebelum itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut menjangkakan pembubaran DUN Kedah selepas pertengahan Jun ini.
Leave a Reply