Penumpang gesa menteri pengangkutan ambil tindakan tegas terhadap AirAsia

LEBIH ramai penumpang AirAsia tampil untuk berkongsi pengalaman terbaru mereka dengan syarikat penerbangan tambang murah itu, walaupun terdapat beberapa siri jaminan dan kenyataan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagi menamatkan masalah kelewatan dan pembatalan yang kerap terhadap penerbangan itu. 

Seorang penumpang dari Kuching, Sarawak, memberitahu dia terpaksa membayar tambahan RM1,399 hanya untuk membawa keluarganya pulang dari Kuala Lumpur. 

Angelina Sinyang tiba di hab syarikat penerbangan tambang murah di KLIA2 pada kira-kira 2.30 petang untuk penerbangan pukul 3.55 petang pada 29 Januari. Setibanya di lokasi, dia hanya berjaya mendaftar masuk satu bagasi menggunakan kiosk layan diri.

Ini menyebabkan dia terpaksa pergi ke kaunter pendaftaran masuk untuk berjumpa dengan kakitangan AirAsia, namun dia terkejut apabila mendapati kaunter itu sudah tutup dan dimaklumkan dia sudah terlambat.

“Petugas AirAsia memberitahu bahawa saya tidak boleh lagi daftar masuk bagasi kerana mereka sudah membuat panggilan terakhir sebanyak dua kali,” katanya.

Ujarnya, disebabkan pihak lapangan terbang sudah membuat panggilan terakhir, maka tiada petugas yang akan membawa bagasi selebihnya ke pesawat.

Justeru, Angelina dinasihatkan supaya membeli tiket penerbangan baharu sekiranya ingin pulang ke Kuching dan diminta mengambil semula bagasi yang sudah didaftar masuk bahagian tuntutan bagasi.

“Tetapi bila tiba ke kaunter bagasi, saya dapat tahu penerbangan asal ditunda ke 4.30,” luahnya kebingungan.

“Ini bermakna saya ada banyak masa lagi untuk daftar masuk semua bagasi sebelum ke terminal.”

Menceritakan lagi, Angelina berkata, dia kemudian berjaya membeli empat tiket penerbangan yang berlepas pada pukul 9.55 malam yang mana dia terpaksa membayar RM1,399, tambahan daripada lebih RM2,000 untuk tiket penerbangan asal yang dibelinya sebelum ini.

Bagaimanapun, Angelina menerima satu lagi berita buruk apabila dimaklumkan penerbangannya ditangguhkan kepada pukul 11.30 malam sebelum diumumkan tangguh lagi kepada pukul 12.05 tengah malam.

“Kami akhirnya tiba ke Kuching pada pukul 2 pagi. Anak saya terpaksa ponteng sekolah pada keesokan hari kerana kepenatan,” tambah Angelina.

AirAsia mendahului aduan penumpang dari Januari hingga Jun tahun lalu, menurut data yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia atau Mavcom tahun ini. 

Sebanyak 527 aduan (42.1%) dibuat terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu, diikuti 40.7% terhadap Malaysia Airlines. Sementara itu, Batik Air yang dahulunya dikenali sebagai Malindo Air menerima 99 aduan atau 7.9%. 

Akhir tahun lalu, Loke mendapat kritikan apabila beliau hanya menegur Batik Air kerana kelewatan penerbangan walaupun masalah serupa yang lebih kerap berlaku di AirAsia. 

“Sebagai menteri, beliau harus berlaku adil kepada semua pihak. Mengapa memilih Batik Air? Mengapa tidak disebut mengenai kelewatan dan pembatalan AirAsia atau isu bayaran balik? Ini berat sebelah,” kata pakar penerbangan tempatan Germal Singh Khera, yang juga seorang bekas pengarah Mavcom, lapor MalaysiaNow.

Ulat dalam makanan 

Bagi penumpang Jagruti Upadhaya, pengalaman menaiki AirAsia pasti tidak akan dilupakan.

Ketika itu, dia dan keluarganya dalam penerbangan pulang dari Bali ke Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas. Mereka memesan empat hidangan vegetarian untuk dimakan di dalam pesawat.

“Ulat itu hanya dijumpai dalam bekas makanan anak saya.

“Jadi kami semua tidak makan makanan yang diberi dan meminta pramugari mengambil semula makanan tersebut,” katanya.

Jagruti berkata, kesabarannya sudah sampai ke hadnya apabila aduan yang difailkan menerusi AVA (chatbot AirAsia) seperti tidak dilayan kerana dia menunggu sehingga 25 Januari untuk mendapatkan maklum balas.

“Selepas saya muat naik kenyataan di media sosial berserta gambar ulat itu, barulah AirAsia hubungi suami saya dan tawaran bayaran kredit RM100.

“Kami bukan mahu duit, mereka patut minta maaf dengan ikhlas. Mujur tiada ahli keluarga jatuh sakit,” kata Jagruti yang sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap syarikat penerbangan itu.

Bagi Christian Echica, warga Filipina yang bekerja di Malaysia, dia sudah menghantar lebih 10 emel sejak November tahun lalu kepada AirAsia untuk mendesak syarikat penerbangan itu memulangkan duitnya selepas penerbangannya pulang ke Cebu pada Krismas dibatalkan.

Ini menyebabkan Echica terpaksa pulang menggunakan syarikat penerbangan lain dan terpaksa membayar tambahan RM1,718 untuk beli tiket penerbangan baru dengan Philippines Air.

Pada masa sama, disebabkan Echica meragui AirAsia akan mengembalikan wangnya seperti yang dijanjikan dalam emel yang diterimanya, dia hanya berharap Loke dan Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Jika mereka berada di tempat kami sebagai rakyat biasa, sudah tentu mereka inginkan keadilan.

“Saya berharap pihak berkuasa akan lebih sensitif dengan isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya seperti menghubungi penumpang yang terjejas dan bertanyakan perkembangan kes ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *