GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengesyorkan kerajaan mengiktiraf pembentukan ‘kabinet bayangan’ oleh Perikatan Nasional (PN).
Menurut Bersih, syor berkenaan perlu diterima positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seiring dengan pengenalan slogan Malaysia Madani.
“Dengan pengiktirafan ini akan dapat memperkukuh lagi kestabilan politik, menghapuskan kebimbangan berlaku Langkah Sheraton 2.0 selain merealisasikan konsep Malaysia Madani.
“Kabinet bayangan PN diharap akan membuat kunjungan hormat kepada Kabinet sebelum Parlimen bersidang sebagai tanda permulaan persaingan antara parti yang madani.
“Kerajaan Perpaduan yang memposisikan dirinya sebagai reformis harus mengiktiraf pembentukan Kabinet bayangan ini secara rasmi di Parlimen dengan sebuah undang-undang yang menggariskan fungsi, hak dan kemudahan untuk Kabinet bayangan.
“Ia supaya dapat melakukan semak dan imbang yang mantap dan profesional, bukan emosional dan populis terhadap kerajaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Bersih turut menggariskan lima syor kepada kerajaan sebagai mengiktiraf pembentukan kabinet bayangan oleh parti pembangkang.
Pertama, Bersih mencadangkan supaya majlis angkat sumpah untuk barisan menteri Kabinet bayangan di Istana Negara sebagai pembangkang setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan memberikan elaun kepada menteri bayangan iaitu satu pertiga daripada gaji menteri dengan mencontohi sistem di Australia.
“Ketiga, peruntukan seorang pegawai penyelidik yang bergaji untuk setiap menteri bayangan dengan kelulusan berkaitan dengan portfolio menteri bayangan.
“Keempat, akses maklumat kerajaan yang bersesuaian kepada Kabinet dan menteri-menteri bayangan untuk penghasilan dasar yang realistik.
“Kelima, penambahbaikan struktur penentuan jadual dan urusan aturan mesyuarat di Dewan Rakyat melalui perundingan bersama ketua pembangkang atau wakil daripada Kabinet bayangan,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply