Fatwa tidak bercanggah nilai konsep Bangsa Johor

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa fatwa melarang umat Islam mengambil bahagian dalam ritual agama lain di negeri tersebut tidak bercanggah dengan nilai toleransi, perpaduan dan persefahaman antara agama.

Titah baginda, kepelbagaian kaum dan agama dianuti rakyat berbilang kaum seperti di bawah konsep Bangsa Johor akan sentiasa diiktiraf dan dihormati di negeri berkenaan.

“Fatwa itu hanya melarang umat Islam daripada mengambil bahagian dalam ritual agama lain. Ia adalah garis panduan untuk mereka. Meraka masih boleh menghadiri majlis perayaan agama lain.

“Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ia adalah jalan dua hala. Kita mesti peka terhadap kewajipan agama masing-masing untuk berbaik-baik,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi, hari ini.

Baginda bertitah semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan.

Sultan Ibrahim turut bertitah rakyat Malaysia harus memberi tumpuan terhadap nilai-nilai bersama ini yang menyatukan masyarakat dan bukannya perbezaan kaum atau agama.

“Saya harap dengan penjelasan ini, kita dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baharu itu kerana ia hanya menjelaskan perkara yang dibenarkan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam.

“Jika anda masih keliru, sila berjumpa Mufti negeri untuk penjelasan lanjut,” titah baginda.

Sultan Ibrahim telah memperkenan fatwa tersebut yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), semalam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *