Anggota bomba cedera urat tangan digigit beruang

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG anggota bomba bantuan putus urat pergelangan tangan kirinya apabila digigit seekor beruang matahari yang sesat di kawasan sawah Kampung Kabu 10, Selengkoh Tengah di Sungai Limau, Yan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, mangsa, Mohamad Nizam Hamid, 27, cedera parah ketika dia bersama rakan setugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung berusaha menyelamatkan haiwan sesat itu.

Menurut Ketua BBP Yan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Norhamidi Ali berkata, mangsa sedang mengepung beruang itu untuk menghalang ia daripada melarikan diri sementara menunggu ketibaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Beruang itu didapati cuba melarikan diri di dalam sawah selepas dikejar orang ramai yang melihatnya berkeliaran di sebuah rumah penduduk sebelum itu.

“Sementara menunggu ketibaan Perhilitan, mangsa beserta penduduk kampung dan agensi terlibat mengepung haiwan itu untuk menghalangnya daripada melarikan diri,” katanya.

Tambah Norhamidi, beruang itu mula menjadi agresif menyebabkan ia cuba menyerang anggota agensi penguatkuasa dan penduduk kampung.

“Kebetulan mangsa berada berdekatan beruang itu dan cuba melarikan diri namun tidak bernasib baik apabila tergelincir di sawah yang berair. Mangsa diterkam beruang terbabit sebelum bahagian tangan kirinya digigit menyebabkan dia alami kecederaan parah,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Yan menggunakan ambulan APM dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, beruang terbabit berjaya diselamatkan pada pukul 1.21 petang ini dan diserahkan kepada Perhilitan untuk proses seterusnya.

Katanya, beruang matahari berkenaan terlebih dahulu ditembak ubat pelali oleh petugas Perhilitan bagi menenangkannya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *