Polis Pulau Pinang rampas 41kg syabu bernilai RM1.5 juta

POLIS Pulau Pinang berjaya merampas sebanyak 41.807 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.505 juta dalam dua serbuan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) Sabtu lalu.

Dalam operasi sama, seramai tujuh individu tempatan berusia antara 26 hingga 54 tahun termasuk dua beradik turut ditahan dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Permatang Kerai Besar, pukul 8.45 malam yang mana lima individu ditahan.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah itu menemukan sebanyak 11 bungkusan plastik hijau berlabel teh Cina dan dua peket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan dadah jenis syabu.

Ujarnya, ekoran penahanan itu, polis melakukan serbuan kedua keesokan hari di Bertam Perdana, pukul 8 pagi dan menahan dua lagi individu.

“Dalam serbuan kedua ini, kita merampas sebanyak 30 bungkusan plastik jenis sama di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan kita percaya kedua-dua suspek sedang melakukan urusan jual beli ketika serbuan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, selain rampasan dadah, polis turut menyita empat buah kenderaan dan wang tunai RM1,000 daripada sindiket terbabit menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM1.97 juta.

Katanya, hasil risikan mendapati, sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan tahun lalu dan menjual dadah untuk pasaran tempatan.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan dua suspek turut memiliki rekod membabitkan pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

“Selain itu, salah seorang suspek turut memiliki rekod kesalahan mengikut Akta Racun 1952,” katanya.

Jelas beliau, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 3 Februari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *