TINDAKAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik anaknya sendiri iaitu bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan didakwa menyebabkan banyak pihak mengangkat bendera merah tanda bahaya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar perlu berfikir dan mempertimbangkan semula keputusan tersebut bagi mengelakkan isu itu menjadi lebih parah pada masa akan datang.
“Kalau ada yang perlu diperbetulkan, betulkanlah sebelum terlambat atau melarat-larat yang besar padah dan mudaratnya. Kita tidak mahu itu berlaku,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Nurul Izzah sebelum ini mendedahkan bahawa beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.
Hassan berkata, rakyat sebelum ini memberi peluang apabila Anwar melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurutnya, rakyat sekali lagi menutup mata dan bersangka baik apabila Anwar melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan kerana percaya kepada tokoh reformasi itu.
Leave a Reply