Lantikan Nurul Izzah, Sanusi cadang lebih baik berkhidmat untuk NGO

Oleh BADLISHAH MAT

BEKAS Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dicadang untuk berkhidmat dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekiranya benar beliau tidak akan mengambil sebarang gaji atau apa-apa elaun sebagai penasihat kanan kepada Perdana Menteri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan juga bukanlah sebuah NGO yang menawarkan perkhidmatan tanpa bayaran kerana setiap pegawai yang dilantik mesti memiliki skim persaraan.

“Saya dok (sedang) kaji ada ka pelantikan di Kementerian Kewangan yang akan melakukan kerja bagi pihak kerajan boleh tidak ambil gaji, tidak ada skim persaraan untuk dia kerana saya rasa tidak ada perjawatan macam itu.

“Bila ada servis, ada bayaran. Kalau servis diberi, bayaran tak ada itu bukan pekerjaan. Kalau tak ambil gaji, kemudian perjawatan dia macam social service baik pi buat kerja NGO,” katanya ketika ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Kedah di Alor Setar, malam tadi.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan tidak perlu menambah pelantikan pegawai atau penasihat yang bertujuan untuk menasihati polisi-polisi tertentu serta perolehan kerana tugas itu sudah dilakukan pegawai kanan kerajaan sedia ada.

“Kita ada ketua setiausaha kementerian, audit yang akan mengendalikan urusan itu. Tak perlu tambah lagi walaupun tak bayar gaji, (tetapi) kalau nak kerja situ mesti ada skim saraan dan pelbagai manfaat seperti pegawai dapat.

“Ambil sahaja kalau nak, (buat) apa (nak) malu-malu. Lantik anak dia, rasa malu (kemudian umum) tak ambil gaji. Tak kan lah semua macam itu, nak makan apa,” katanya.

Beliau berkata, tidak pasti sama ada Perdana Menteri mahu menjadikan pelantikan itu sebagai penanda aras bahawa orang-orang politik dan anak-anak mereka boleh terlibat dalam kerajaan tanpa mengambil gaji kerana amalan itu dilihat amat luar biasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *