Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG guru yang maut akibat lemas ketika menjala ikan di Kampung Batu 6, Jalan Sanglang, Kedah semalam dipercayai turun ke sungai bagi melepaskan jalanya yang tersangkut di dasar sungai.
Ketua Polis Daeah Kubang Pasu, Superitendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu turut dilihat oleh rakannya yang berada hanya kira-kira 10 meter daripada lokasi mangsa, Khairul Azuar Mohd. Saud, 41 dilaporkan lemas.
Menurutnya, rakan mangsa itu mendakwa sempat melihat Khairul Azuar terkapai-kapai sambil meminta tolong selepas turun ke sungai sebelum hilang ke dasar.
“Rakan mangsa itu cuba menghampiri Khairul Azuar namun ketika itu, mangsa sudah pun tenggelam. Usaha lelaki itu meraba ke dasar untuk mencari Khairul Azuar turut gagal menemukannya kerana keadaan air yang keruh dan kedalaman sungai mencecah lebih dua meter.
“Berikutan itu rakan mangsa terus meminta bantuan orang ramai di kawasan berhampiran. Mangsa kemudiannya ditemukan dan dibawa ke darat oleh pihak bomba dengan kerjasama penduduk kampung,” katanya.
Difahamkan mangsa bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Paya Kemunting, Jitra.
Warta Rakyat semalam melaporkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa ketika dia turun menjala ikan dengan pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.59 petang.
Mengulas lanjut Rodzi berkata, temu bual bersama isteri mangsa memaklumkan, suaminya itu sememangnya gemar menjala dan memancing ikan namun tidak terlalu pandai berenang.
“Keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat lemas dan pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tidak terdapat kesan mahu pun unsur jenayah,” katanya.
Leave a Reply