Oleh BADLISHAH MAT
GELOMBANG, momentum dan kehendak rakyat yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tidak mustahil untuk Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Pengerusi PN Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, gelombang dan momentum sokongan terhadap PN tidak hanya dikekalkan malah akan ditingkatkan menjelang PRN di negeri-negeri terlibat.
Katanya, Pulau Pinang yang kini diperintah DAP melalui Pakatan Harapan (PH) juga tidak mustahil untuk ‘digegarkan’ apatah lagi mereka sendiri mengakui beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu akan terlepas.
“Kita ada pendekatan, strategi dan perancangan untuk dilaksanakan dan dalam masa sama, kita nak tengok jugalah PH dan Barisan Nasional (BN) buat apa. Nampaknya belum dapat tidur sebilik lagi, masih ‘kong kali kong’,” katanya ketika ditemui pada sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Kedah di Alor Setar, malam tadi.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO termasuk Khairy Jamaluddin baru-baru ini tidak hanya akan melemahkan UMNO malah turut menjejaskan PH.
“Ibarat ‘jong’ pecah, yu kenyang. Tetapi kita tidaklah mengambil perkara itu sebagai sesuatu yang akan memberi kemudahan kepada PN. Kita sentiasa bersedia dan buat persiapan dengan kempen-kempen akan turut diperkemas. Di Kedah saya selalu sebutkan kalau BN campur PH pun, mereka takkan dapat atasi PN di 33 kerusi DUN dalam negeri ini,” katanya.
Mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang secara sinis menyatakan ‘Tsunami PN’ tidak berlaku hari-hari, Menteri Besar Kedah itu berkata, impak bencana alam itu juga tidak akan berakhir dengan cepat.

“Memanglah tsunami tak berlaku hari-hari tetapi kalau sekali jadi sampai 31,000 majoriti di Pokok Sena, takkanlah keadaan itu akan pulih dengan cepat? ‘bapa’ tsunami tu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat perbincangan tidak rasmi antara kepimpinan Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi menentukan tarikh PRN yang setakat ini terdapat persefahaman bahawa DUN tidak akan dibubarkan pada Mac atau April kerana faktor Ramadan dan Aidilfitri.
“Tidak lama selepas itu akan tiba pula musim haji dan selepas itu yang penting di Kedah ini, akan ada Hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 18 Jun. Hanya selepas itulah baru boleh dilaksanakan apa yang sepatutnya dibuat bagi pembubaran DUN.
“Perbincangan tak rasmi memang ada. Contohnya, saya sendiri bertanya kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan beliau maklumkan mereka bukan saja-saja nak bubar DUN pada Mei sebaliknya perlu berbuat demikian kerana penggal DUN negeri itu berakhir pada 1 Jun.
“Disebabkan DUN akan terbubar sendiri pada 1 Jun, maka mahu tidak mahu, negeri itu perlu bubar pada Mei. Kalau negeri-negeri lain mahu adakan PRN serentak dengan Negeri Sembilan, maka perlu ambil kira 60 hari dari tarikh DUN Negeri Sembilan dibubarkan,” katanya.
Tambahnya, PN tidak mengikut PH dalam menentukan tarikh PRN di keenam-enam negeri tersebut, sebaliknya beliau mengharapkan agar PH menuruti mereka dalam hal itu.
“Di sebalik semua itu, PRN ini memang penting untuk dijalankan secara serentak. Pelaksanaan PRN secara serentak di keenam-enam negeri mampu membawa penjimatan. Lagi pun akan memudahkan semua pihak terutamanya yang tinggal jauh untuk pulang mengundi,” katanya.
Leave a Reply