74 ahli Parlimen PN sertai pemukiman selama dua hari

SERAMAI 74 ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengadakan pemukiman selama dua hari bermula petang Rabu, di ibu negara.

Pemukiman itu selaras dengan komitmen PN yang menyatakan hasrat untuk bertindak sebagai pembangkang yang kredibel, matang, efektif dan berintegriti tinggi bagi menjuarai suara hati rakyat.

Lapor BeritaBersatu, ia juga turut bertindak sebagai satu pasukan ampuh dalam melaksanakan tugas semak dan imbang kepada kerajaan.

Yang turut hadir di pemukiman itu adalah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sementara itu dalam ucapan aluan, Muhyiddin menegaskan program seumpama ini penting bagi merapatkan hubungan silaturahim antara ahli Parlimen PN.

Katanya, tanggungjawab sebagai ahli Parlimen adalah satu amanah daripada rakyat dan harus dipikul dengan sebaik-baiknya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *