SEORANG lelaki berusia 20-an ditahan polis Pulau Pinang di Taman Mewah, Kemunting, Perak semalam kerana disyaki memperdaya mangsa dalam urusan perkhidmatan pembersihan rumah yang tidak wujud melalui Facebook.
Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kerugian yang dialami mangsa penipuan suspek lelaki berusia 20-an itu adalah sekitar RM113,238.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, polis menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau Macau dan Love Scam serta parcel scam melalui media sosial.
“Pihak polis juga menyarankan supaya orang ramai membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM melalui link https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau juga boleh memuat turun di aplikasi Google Play semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kenyataan itu memaklumkan, polis turut menahan seorang wanita berusia 23 tahun kerana disyaki menjadi ejen jualan yang menjalankan urusan jual beli barang kemas yang tidak wujud melalui atas talian.
Ujarnya, suspek ditahan di Taiping, Perak melibatkan kes yang dilaporkan pada 6 Februari 2022.
“Hasil semakan lanjut mendapati suspek ialah ejen jualan yang berurusan dengan mangsa dalam urusan penjualan barangan kemas yang tidak wujud melalui atas talian,” katanya.
Tambah kenyataan itu, suspek juga telah membuat ugutan kepada mangsa untuk membatalkan pembelian dan semua wang pembayaran tidak akan dipulangkan jika mangsa tidak membuat pembayaran pada masa ditetapkan.
“Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah RM39,600 dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply