Oleh RIZQI ZABIDI
SEBANYAK 300 bubu kambang atau bubu naga dirampas dalam operasi khas dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah bersama komuniti nelayan di beberapa lokasi sepanjang perairan Pantai Murni, Yan hingga ke Tanjung Dawai di Merbok, Kedah awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd. Nadzir berkata, operasi khas itu dilaksanakan berdasarkan aduan awam di lokasi berkenaan yang kerap diterima Maritim Malaysia.
Katanya, sepuluh lokasi rampasan bubu naga itu adalah di sekitar 1.3 hingga 1.9 batu nautika merangkumi kawasan perairan Pantai Murni hingga ke perairan Tanjung Dawai.
“Semasa rondaan dilakuan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemukan pelampung penanda dan pancang kayu mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran 10 meter panjang.
“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM36,000 dan dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, penggunaan bubu naga semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan kegiatan itu perlu dicegah bermula di peringkat penjualan oleh pihak berwajib.
“Jika sekadar mengharapkan kepada usaha merampas bubu itu saja, tindakan itu tidak terlalu memberi kesan kerana bubu tersebut masih boleh dibeeli di pasaran dengan harga murah termasuk melalui dalam talian,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut mengingatkan komuniti nelayan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti diperuntukan.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang Persekutuan dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.
“Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.
Leave a Reply