Cuaca buruk, 66 penumpang pesawat Firefly berdepan detik cemas

SEBANYAK 66 penumpang dan empat kru pesawat penerbangan Firefly berdepan detik cemas selepas berdepan cuaca buruk sebelum ia dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di Johor, hari ini.

Syarikat penerbangan Firefly berkata, pesawat Firefly FY3124 tersebut dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Seletar (XSP), Singapura.

Katanya, pesawat itu berlepas dari SZB pada pukul 7.20 pagi dan dijadual tiba di SXP pada 8.40 sebelum mengalami gangguan tersebut.

“Walau bagaimanapun, pesawat tersebut telah dilencongkan ke LTAS dekat sini sementara menunggu cuaca reda sebelum membuat penerbangan semula ke Seletar.

“Seramai 66 orang penumpang, termasuk seorang bayi berserta empat orang anak kapal berada dalam pesawat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak Firefly dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua penumpang atas kesabaran mereka sehingga selamat sampai.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu tular video dalam pesawat berkenaan yang berdepan cuaca buruk dan penerbangan terpaksa dilencongkan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *