PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru pihak pengurusan semua kuil di negara ini yang menyambut perayaan Thaipusam supaya tidak menggunakan bekas makanan polistirena di persekitaran kuil mereka ketika menghidangkan makanan kepada para penganut.
Pegawai Penyelidik CAP, N. V. Subbarow berkata, semasa Thaipusam, pelbagai pertubuhan amal menyediakan makanan percuma sebagai ‘Anna Thanam’ yang mana kebanyakan mereka menggunakan bekas diperbuat daripada polistirena ketika menghidangkan makanan percuma itu.
Ujar beliau, pinggan dan cawan polistirena digunakan secara meluas untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada para penganut dengan alasan lebih mudah untuk disediakan bagi menguruskan orang ramai.
“Disebabkan inilah maka banyak sampah polistirena yang dihasilkan setiap tahun.
“Penggunaan bekas polistirena pakai buang inilah yang menghasilkan sejumlah besar sampah.
“Sedangkan, ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa polistirena mengambil masa sekitar 500 tahun untuk mengurai dalam persekitaran,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, pembungkusan polistirena biasanya mengandungi beberapa baki stirena kerana proses pembuatannya tidak 100 peratus cekap.
Jelasnya, bahan kimia itu boleh berpindah ke dalam makanan apabila ia dalam keadaan baharu dan apabila lama pula ia akan rosak akibat terdedah kepada haba, matahari atau haus.
“Akhirnya bahan kimia ini diserap pula oleh tubuh dan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.
“Sampah polisterina ini apabila dibakar boleh mengeluarkan bahan kimia berbahaya yang sekali lagi menimbulkan ancaman kesihatan kepada pengguna,” ujarnya.
Tambah Subbarow, memandangkan Thaipusam adalah perayaan keagamaan, adalah penting agar para penganut agama itu tidak terdedah kepada bahan kimia berbahaya daripada polistirena.
“Dengan mengambil kira perkara ini, pihak pengurusan kuil perlu memastikan para penganut dihidangkan dengan makanan dan minuman dalam bekas terbiodegradasikan yang lebih selamat.
“Para penganut juga boleh memainkan peranan dengan membawa bekas mereka sendiri untuk menerima makanan. Ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan,” katanya.
Dalam masa ujar beliau, CAP menggesa pihak pengurusan kuil supaya bertegas dengan para pemilik gerai dan mengenakan peraturan yang lebih ketat untuk mengelak pemilik kedai menggunakan pembungkus polistirena atau beg plastik.
Tegasnya, mereka yang didapati melanggar peraturan itu tidak seharusnya diberi peluang untuk mendirikan gerai mereka sendiri pada Thaipusam yang akan datang.
“Marilah kita berusaha bersama-sama ke arah Thaipusam yang bebas daripada polistirena dan menggunakan festival ini sebagai platform untuk menyelamatkan dan memupuk kesedaran akan pentingnya untuk menjaga alam sekitar.
“Ini akan meninggalkan persekitaran yang lebih bersih dan selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Leave a Reply