BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendedahkan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat.
Memetik laporan Sinar Harian, Zahidi yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, beliau akan menyerahkan borang keahlian PKR pada 4 Februari depan.
Pada masa sama, bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu mendakwa beberapa pemimpin UMNO lain juga berhasrat berbuat demikian.
Kata beliau, ada juga dalam kalangan pemimpin UMNO telah menyuarakan hasrat untuk menyertai PKR dan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak berpuas hati dengan cara Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Dengan saya bakal menyertai PKR secara rasmi pada 4 Feb ini bersama 100 ahli UMNO Bahagian Padang Besar, dijangka banyak cawangan partib itu di Padang Besar yang bakal terbubar kelak.
“Ramai orang tanya saya macam mana hendak masuk PKR, termasuk sebilangan pemimpin UMNO Pusat. Ada juga antara mereka hendak masuk PN. Ini semua sebab mereka tidak bersetuju dengan cara presiden,” katanya.
Mengulas lanjut, Zahidi mendedahkan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbi UMNO berhubung tindakan Ahmad Zahid dan MKT ‘membersihkan’ parti tanpa mengikut prosedur.
Beliau turut membidas tindakan Ahmad Zahid yang memecat pemimpin UMNO tidak sehaluan dengannya, semata-mata untuk menjamin kedudukan sebagai Presiden.
“Mujurlah hakim-hakim di negara ini tidak boleh dipecat Zahid, jika tidak dengan mereka semua pun kena pecat kerana tidak menyokong beliau,” katanya secara sinis.
Zahidi dipecat daripada UMNO selepas bertanding sebagai calon Bebas bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi.
Bagaimanapun, beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar dan kehilangan deposit selepas hanya memperoleh 1,939 undi.
Kerusi Parlimen Padang Besar dimenangi Rushdan Rusmi daripada PN dengan majoriti 12,514 undi.
Jumaat lalu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar menyertai senarai pemimpin UMNO terbaru yang dipecat daripada parti itu selepas bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim.
Keputusan pemecatan itu dibuat pada MKT UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid.
Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahliannya selama enam tahun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya turut mengesahkan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga digantung enam tahun, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.
Leave a Reply