Budak lelaki jatuh tingkat 11 meninggal dunia

KANAK-kanak lelaki berusia 12 tahun yang terjatuh dari tingkat 11, Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda Johor Bahru lewat petang semalam meninggal dunia tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kanak-kanak berkenaan menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi lapor BH.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak 12 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11 kediaman berkenaan.

Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 7.31 malam tadi.

Kanak-kanak itu ditemukan tersangkut di bumbung kedai ditingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.

Anggota bomba membawa turun mangsa yang mengalami patah tangan kiri dengan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke HSA.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *