KRITIKAN terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung lantikan anak perempuannya, Nurul Izzah masih tidak berhenti dan berterusan walaupun sudah memberi alasan tiada elaun yang dibayar bagi memegang jawatan tersebut.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan lantikan Nurul Izzah dan adakah itu makna reformasi yang selama ini dilaungkan oleh Anwar selama ini, malah janji sebelum ini berhubung pemisahan jawatan Perdana Menteri dengan Menteri Kewangan juga dilanggar.
“Anak beranak jaga kantung perbendaharaan negara. Inikah reformasi yang dicanang selama ini? Bukankah Nurul Izzah bercakap di World Economic Forum 2017 janji Pakatan Harapan ialah pisahkan peranan dan jawatan Menteri Kewangan daripada Perdana Menteri?
“Ini bukan sekadar langgar janji tapi terus khianat agenda reformasi yang kamu laungkan saban tahun,” katanya dalam satu hantaran Facebook, lapor Agenda Daily.
Wan Fayhsal juga mempertikaikan adakah lantikan tersebut merupakan satu urus tadbir yang baik dan boleh menjamin ketelusan dalam pentadbiran kerajaan campuran.
“Tell me is this a good governance? Apa jaminan skandal 1MDB takkan berulang dengan peranan yang tidak dipisahkan sebegini? Apa kata Abang Mat (Mohamad) Sabu kita?” katanya lagi.
Beliau juga bertanya apakah perbezaan keluarga Anwar dengan keluarga bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melantik anak perempuannya yang juga ahli perniagaan, Ivanka Trump sebagai penasihatnya pada 2017 hingga mendapat kecaman orang ramai.
“Apa beza keluarga Anwar dengan keluarga Trump?
“Adakah ini makna dan prinsip pentadbiran Madani yang nak dibangunkan untuk bawa Malaysia menjadi maju? Pakat-pakat nilai,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Anwar mempertahankan pelantikan itu dengan berkata Nurul Izzah tidak mendapat sebarang elaun dan anaknya itu juga mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan dan ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.
Leave a Reply