Tiada lagi harapan buat UMNO…

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

KRISIS yang melanda UMNO mutakhir ini memberi mesej jelas kepada semua penyokong akar umbi bahawa parti itu bukan lagi menjadi tempat pergantungan bagi orang Melayu dan Islam kerana prinsip perjuangan yang telah terpesong.

UMNO sudah menjadi parti untuk membolehkan presiden, timbalan presiden dan pemimpin tertentu terus mengekalkan kuasa seterusnya membawa hala tuju parti itu mengikut citarasa politik mereka sendiri.

Perjuangan parti yang tersasar apabila bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, makin bertambah kronik apabila pemimpin yang tidak mahu parti itu tergelincir landasan perjuangan dipecat dan digantung keahlian sehingga enam tahun.

Maka, tiada apa lagi yang boleh diharapkan daripada UMNO kerana ‘rumah’ yang menjadi tempat perlindungan orang Melayu sudah terbakar dan menunggu masa untuk rentung sepenuhnya hingga menjadi abu.

Kebakaran dalam ‘rumah’ UMNO bukanlah perbuatan sabotaj daripada luar tetapi dari dalam oleh pemimpin parti itu sendiri yang tidak mahu mendengar nasihat supaya berubah demi survival dan masa depan parti.

Dulu mereka sering memainkan lagu Anak Kecil Main Api, tetapi selepas ini kita akan dengar pemimpin UMNO akan mencipta lagu Anak Kecil Main Roket – kerana kemesraan dan hubungan kasih sayang UMNO dan DAP.

Sebagai ahli akar umbi dan penyokong atas pagar, kita tidak mampu untuk berbuat apa-apa untuk menghalang UMNO daripada terus menjadi platform kepada pihak tertentu meneruskan agenda peribadi mereka.

Langkah yang terbaik untuk dilakukan adalah dengan meninggalkan parti itu dan tidak lagi memberikan sokongan kepada mereka walau dengan apa cara sekalipun.

Tidak perlu membuang masa mengharapkan UMNO akan pulih kerana pemimpin yang diharapkan untuk mengembalikan UMNO kepada perjuangan asal sudah ditamatkan karier politik dan ‘ditanam’ lumat-lumat.

Masa depan UMNO juga kelihatan akan lebih malap setelah menjalin kerjasama mesra bersama PH kerana suara mereka dalam gabungan itu menjadi makin kecil dan tidak mustahil diketepikan pada masa-masa akan datang.

Dengan hanya 26 kerusi Parlimen, sudah pasti keupayaan mereka untuk bersuara dalam PH tidak mampu membawa aura yang besar berbanding DAP dan PKR yang lebih dominan dan senior dalam gabungan itu.

Contoh terhampir dapat dilihat apabila dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang semakin hampir ini sudah ada cakap-cakap mengatakan bahawa UMNO hanya akan mendapat lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Kerusi-kerusi yang diperoleh itu pula adalah kerusi sisa-sisa PH yang dapat disimpulkan adalah amat mencabar bagi UMNO untuk memenanginya ketika berdepan dengan krisis kepercayaan oleh pengundi.

Di negeri-negeri kerusi majoriti Melayu pula seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, UMNO terpaksa mengorbankan kerusi-kerusi mereka kepada PKR dan Amanah atas dasar calon PH dilihat lebih layak untuk bertanding bagi melawan Perikatan Nasional (PN).

Maka, pilihan yang ada bagi penyokong akar umbi dan golongan atas pagar yang sebelum ini bersama UMNO ialah dengan menyokong PN.

Ini kerana dalam gabungan PN seperti diketahui umum dianggotai oleh Bersatu dan Pas yang terbukti dapat membela Melayu dan Islam serta memastikan kaum lain hidup selesa tanpa sebarang syak wasangka.

Dengan sokongan penuh oleh orang ramai tanpa sebarang sabotaj politik seperti yang telah dilakukan pemimpin UMNO sebelum ini, penulis yakin PN akan dapat mentadbir negara dengan lebih baik pada masa depan.

Bagi menjayakan usaha itu, sokongan terhadap PN perlu diterjemahkan pada PRN enam negeri yang akan diadakan dalam masa terdekat kerana hanya dengan cara itu, kedudukan PN akan terus mengukuh dan bertambah kuat.

Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *