DAP warisan anthony loke harga makanan

Tak perlu jemput pemimpin UMNO dipecat sertai DAP-Anthony Loke

SETIAUSAHA Agung DAP, Loke Siew Fook menegaskan, pemimpin yang dipecat UMNO tidak akan dijemput menyertai DAP kerana tidak perlu untuk bertindak secara ‘terburu-buru’.

“Tidak perlu untuk membuat sebarang jemputan terbuka kepada mereka kerana ia terpulang kepada individu terbabit untuk menentukan langkah seterusnya dalam kerjaya politik mereka.

“Saya pasti mereka tahu apa keputusan yang terbaik,” katanya kepada wartawan di sebuah majlis sambutan Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, hari ini.

Jika ada yang ingin membuat permohonan katanya, setiap pihak akan mempertimbangkannya.

“Kami tidak mahu mendahului apa-apa,” katanya lapor Free Malaysia Today (FMT).

Bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar adalah dua pemimpin yang dipecat UMNO malam tadi kerana melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Khairy dan Noh sebelum ini menggesa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden parti berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Turut dikenakan tindakan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif dan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *