Salim tidak tahu apa ‘dosanya’ digantung UMNO enam tahun

BEKAS Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif tidak mengetahui ‘dosa’ yang telah dilakukannya terhadap UMNO sehingga digantung keahlian selama enam tahun.

“Saya tak tahu dosa apa yang saya buat. Setelah saya berkorban sekian lama… 35 tahun (di dalam UMNO). Seolah-olah (saya buat) dosa yang sangat besar digantung selama enam tahun,” katanya memetik laporan FMT.

Penggantungan itu katanya, tidak dimaklumkan terlebih dahulu dan sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang surat daripada parti.

“Tiada orang hubungi saya atau apa-apa (beri surat) sampailah malam tadi saya dapat mesej, kawan-kawan hantar (nama) saya tersenarai. Saya terperanjat, apa salah saya,” akui bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol itu.

Salim antara penyandang yang tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau digantikan dengan timbalannya, Shamshulkahar Deli yang menang dengan majoriti 5,857 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Mengulas lanjut, Salim berkata walaupun tidak dicalonkan semula, beliau membantu jentera bahagiannya sehingga menang dengan majoriti besar ketika kubu kuat UMNO yang lain jatuh kepada pihak lawan.

“Masa kempen, saya kempen sampai menang. Tiada boikot malah pujuk orang (ahli) yang merajuk tetapi bila menang balasan saya kena gantung rupanya,” katanya.

Salim akan menunggu penjelasan terperinci daripada parti berhubung penggantungan itu, sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.

“Saya sedang tunggu surat daripada parti. Kalau dia panggil beri keterangan, pembelaan tak mengapalah tetapi ini tak ada apa. Tiba-tiba jatuh hukum,” katanya.

Salim antara empat individu yang digantung keahlian selama enam tahun.

Selain itu, turut digantung adalah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; dan Ketua UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi turut memutuskan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan bekas ketua UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *