Pucuk pimpinan UMNO kini tidak patuh undang-undang – Noh

BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan UMNO di bawah pucuk pimpinan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti, tidak patuh kepada undang-undang.

Menurut beliau, UMNO pada hari ini juga tidak mengikuti Perlembagaan dan bertindak sesuka hati selagi mana mereka mendapat kepentingan diri masing-masing.

“Lebih menyedihkan ramai lagi pemimpin lain seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar, tokoh muda seperti Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan juga Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, merupakan seorang pemimpin yang dikenali.

“Ramai lagi pemimpin-pemimpin yang dilihat berani bersuara tetapi telah pun diambil tindakan kerana Presiden tidak mahu saya dan mereka yang diambil tindakan ini memberikan pandangan untuk masa depan UMNO,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Instagramnya hari ini.

Dalam pada itu, Noh juga mempertikaikan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam menggantung keahliannya selama enam tahun sebelum parti itu mengeluarkan kenyataan secara sah bahawa beliau telah pun dipecat.

Menurutnya, keputusan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana beliau telah pun mendapat surat tunjuk sebab dan akan dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO pada 30 Januari ini.

“Jadi oleh kerana saya tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin atau Presiden UMNO, yang boleh menguburkan UMNO, maka daripada saya digantung, lebih baik saya terus dipecat,” katanya lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *