‘Pembersihan’ UMNO hanya hasilkan lebih banyak ‘kotoran’- Annuar

BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ‘pembersihan total’ yang dilakukan UMNO hanya akan menghasilkan lebih banyak ‘kotoran’ kerana punca sebenarnya masih berpaut di dalam parti itu.

Beliau berkata, rakyat telah memberi isyarat menolak UMNO pada pilihan raya umum (PRU) lalu namun parti itu masih bersikap dalam penafian.

Annuar yang dipecat keahlian daripada UMNO pada 8 Disember lalu mendakwa, mereka lebih gemar menyalahkan rakyat dan pengundi dan semua orang lain, kecuali diri mereka sendiri.

“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yg mereka reka sendiri. Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka,” katanya dalam Facebook miliknya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dan bekas Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat.

Katanya, mereka dipecat daripada UMNO atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu PRU15.

Turut dikenakan tindakan adalah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.

Sementara itu, bekas Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini menyertai Perikatan Nasional (PN) menggelar UMNO sebagai parti yang ‘tidak siuman’ dan sedang ghairah memecat ahlinya.

“Sabar yang kena pecat, kami akan beri pembelaan. Hidup PN,” kata Shahidan ringkas, lapor FMT.

Turut memberi respons terhadap pergolakan itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Datuk Seri Faizal Azumu yang menyatakan, “Wahai saudara, sayap anda tidak lagi terikat. Kini anda boleh terbang lebih tinggi. Semoga Allah berkati perjuangan suci.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *