Onn Hafiz Ghazi

Pecat, gantung pemimpin, UMNO berdepan tugas besar urus persepsi-MB Johor

UMNO bakal berdepan tanggungjawab besar mengurus persepsi akar umbi parti dan rakyat kesan daripada keputusan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpinnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi secara peribadi berpandangan, ramai ‘terkejut’ dan ‘sedih’ dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi.

“Sudah tentu kena urus peringkat ahli parti dan peringkat rakyat secara umum. Saya rasa ini satu tanggungjawab yang besar untuk pucuk pimpinan melihat pada persepsi dan apa yang berlaku di bawah.

“Di peringkat negeri Johor, saya ingin menekankan fokus membangunkan negeri Johor dengan semangat perpaduan Bangsa Johor. Kita nak jadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030,” lapor Astro Awani.

Pada 20 November, Onn antara pemimpin awal menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) yang mencatat prestasi terburuk, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malam tadi, MKT bertindak memecat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, MKT juga menggantung keahlian bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif, dan pemipin UMNO Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

MKT juga bertindak memecat lima ahli UMNO Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Putrajaya, dua ahli UMNO Tanjong Karang serta 26 ahli UMNO dari Pahang.

Antara kesalahan mereka adalah menjadi calon Bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan membantu parti lawan ketika PRU15.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *